Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap pada sidang media mengenai Program Latihan Atlet Negara di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan mengumumkan pelantikan Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) yang baharu berkuat kuasa 8 Mac lalu hingga 7 Mac 2021.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya berharap melalui pelantikan tersebut dapat membantu perjalanan operasi YAKEB dengan lebih baik.

“Saya berharap pelantikan ini akan membuka peluang penaja-penaja membantu YAKEB serta dapat membantu bekas atlet dengan bantuan yang bersesuaian termasuklah melaksanakan beberapa inisiatif yang telah diluluskan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Noorul Ariffin, 54, yang juga anggota Yakeb sejak tahun 2008 pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah YAKEB pada 2016 sehingga kini.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Presiden Persatuan Olahraga Johor.

Di samping itu, beliau juga adalah bekas atlet olahraga negara dari tahun 1983 hingga 1995 yang mana beliau telah menyertai acara 3,000 meter lari berhalangan dan mewakili negara ke Sukan SEA pada 1989.

Sebagai atlet, beliau pernah meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Terbuka Antarabangsa Malaysia pada tahun 1993.- Malaysiagazette

Tinggalkan Jawapan