Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan mendapat peruntukan tambahan bagi semua Program Latihan Atlet 2019 yang kini dinamakan Program Podium.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM118 juta dengan program latihan sebanyak RM97 juta dan keperluan sains dan perubatan RM21 juta.

Beliau menjelaskan peruntukan itu merupakan peningkatan sebanyak RM28 juta berbanding RM90 juta pada tahun lalu.

“Kementerian ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan yang meluluskan bajet tambahan menerusi perbincangan dua minggu lalu.

“Pada masa sama, selepas ini lebih banyak syarikat swasta akan berkolaborasi dengan kementerian dan pengumumannya akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penstrukturan semula Program Atlet Kebangsaan di kementeriannya di sini hari.

Syed Saddiq menambah nama Program Podium dikekalkan dan disatukan bersama Program Kita Juara di bawah pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN).

Jelasnya, Institut Sukan Negara (ISN) pula bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan sains dan perubatan sukan yang dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

“Program Podium ini akan menumpukan kepada lima temasya sukan utama iaitu Sukan Olimpik/Paralimpik Tokyo 2020, Sukan Asia/Para Asia Hanzhou 2022, Sukan Komanwel Birmingham 2022, Sukan Sea/Para Asean Manila 2019 dan Sukan Sea, Para Asean Vietnam 2021.

“Nama Podium ini dikekalkan bagi memberi inspirasi para atlet yang berada di bawah program untuk menaiki podium di kejohanan dan temasya yang disertai,” katanya. – MalaysiaGazette