Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, didorong permintaan lebih baik, memandangkan pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

Pada 9.10 pagi, ringgit berada pada 4.0800/0850 berbanding dolar AS daripada 4.0820/0860 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata, data harga pengguna AS menunjukkan inflasi kekal rendah walaupun pasaran tenaga kerja negara maju itu kukuh, yang menyokong kemungkinan Fed mengekalkan kadar faedah tidak berubah.

“Kadar yang tidak berubah menjadi petanda baik bagi mata wang serantau kerana kadar faedah AS yang tinggi akan melemahkan mata wang Asia,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0084/0132 daripada 3.0094/0128 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3370/3440 daripada 5.3899/3972.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6654/6709 daripada 3.6646/6692 dan susut berbanding euro kepada 4.6051/6124 daripada 4.6016/6066. – MalaysiaGazette