Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Selepas 40 tahun bersama Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd akhirnya menggantung pakaian seragamnya kerana bersara wajib.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Besut, Terengganu dan mahu meluangkan masa hari-hari persaraannya dengan menjala ikan.

Katanya, aktiviti itu memang diimpikan sejak zaman kanak-kanak lagi.

Wan Najmuddin berkata, beliau sudah lama tidak menjala ikan selepas menyertai pasukan keselamatan negara kerana terlalu sibuk.

“Lepas ini saya ada masa berehat dan apa lagi, bolehlah saya balik kampung di Besut, Terenganu dan menjala ikan.

“Lama simpan rindu ini dalam hati kerana memang tak ada masa sejak bersekolah dan kemudian sibuk dengan kerjaya polis.

“Kalau macam Tan Sri (Ketua Polis Negara) nak jual durian dan nak kahwinlah..,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kepada Pemangkunya Datuk Huzir Mohamed Timbalan Pengarah Risikan/ Operasi JSJ Bukit Aman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan timbalannya, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Pada majlis itu seramai 13 orang pegawai kanan polis turut menerima kenaikan pangkat manakala 93 anggota polis dianugerahkan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

Wan Najmuddin, 60, berkata, beliau sama sekali tidak menyangka dapat bertahan selama 40 tahun dalam polis sehingga menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Bagaimanapun, kata beliau, penyertaannya dalam polis merupakan satu kebanggaan dan simbol keberaniannya.

Dalam ucapan selepas penyerahan tugas, Wan Najmuddin turut mendedahkan, beliau dan Mohamad Fuzi sebenarnya berjiran dalam satu taman perumahan di Shah Alam.

“Saya kenal Tan Sri sejak bertugas di Kedah lagi dan terjalin persahabatan itu sehingga menjadi rakan satu taman perumahan.

“Paling mencuit hati, semalam sebelum sembahyang Maghrib, Tan Sri (Mohamad Fuzi) datang dengan anak lelakinya berdiri depan rumah saya dengan kain pelikat menunggu saya untuk pergi masjid,” katanya.

Wan Najmuddin menambah, sudah tentu kenangan bersama Polis Diraja Malaysia dan sahabat-sahabat akan dirinduinya.