Serpihan pesawat Boeing 737 Max 8 milik Ethiopian Airlines yang terhempas pada Ahad lalu. foto Agensi

WASHINGTON – Boeing menarik semula kesemua pesawat 737 Max selepas para penyiasat menemui bukti baharu di lokasi kapal terbang Ethiopian Airlines terhempas.

Penarikan semula itu membabitkan 371 buah pesawat berkenaan.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat berkata, bukti baharu dan data satelit telah mendorong keputusan Boeing untuk menggantung penggunaan pesawat berkenaan.

Beberapa negara telah mengharamkan pesawat Boeing 737 Max 8 melalui ruang udara mereka sejurus selepas kemalangan yang mengorbankan 157 orang penumpang.

Insiden kedua itu berlaku selepas tempoh lima bulan kemalangan membabitkan pesawat model sama milik Lion Air pada Oktober lalu yang membunuh 189 orang penumpang dan anak kapal.

Pasukan penyiasat FAA telah berada di lokasi nahas Ethiopian Airlines dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan.

Dan Elwell yang bertindak sebagai pentadbir FAA berkata: Ia sudah jelas kepada semua pihak bahawa kejadian yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines mengalami keadaan serupa dengan pesawat Lion Air. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan