Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018
Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Cuaca ‘enak’ terutamanya pada waktu malam, selain persekitaran sesak seperti di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) antara punca mengapa remaja bawah umur suka keluar rumah pada waktu malam.

Itu jawapan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menjawab persoalan apakah antara punca mengapa ada isu remaja bawah umur suka keluar malam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, walaupun ada pandangan supaya menggunakan model Iceland yang melaksanakan perintah berkurung kepada golongan tetapi pendekatan itu tidak boleh dilakukan di Malaysia pada masa ini.

“Setelah diteliti, kerajaan berpendapat larangan keluar malam atau perintah berkurung (curfew) bagi kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun waktu malam masih belum sesuai dilaksanakan.

“Antara faktornya, ibu bapa tiada di rumah kerana melakukan lebih dari satu kerja kerana bebanan kos sara hidup pada masa kini, ada juga keperluan untuk golongan ini untuk berada di luar rumah seperti tuisyen, aktiviti sukan dan agama.

“Ada juga kanak-kanak yang membantu keluarga menyara keluarga dari segi sosio-ekonomi seperti yang dibenarkan oleh International Labour Organisation (ILO).

“Tetapi kerajaan sedang pertimbangkan pelaksanaan secara rintis di kawasan-kawasan berisiko tinggi (hotspot).

“Model belia (Youth Model) Iceland sering dijadikan contoh setelah dilaporkan berjaya menurunkan kes salah guna bahan seperti alkohol dan rokok dalam kalangan remaja secara drastik setelah perintah berkurung dilaksanakan.

“Bagaimanapun, cuaca di Iceland yang sejuk itu juga menyebabkan rata-rata mereka gemar dalam rumah manakala di Malaysia, cuacanya ‘enak’ sehingga menyebabkan golongan ini gemar beriadah di luar rumah khasnya malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di soal oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju (PH), Datin Oaduka Dr Tan Yee Kew yang meminta sama ada kerajaan akan membuat keputusan berhubung cadangan perintah berkurung kepada remaja bawah umur 18 dan kanak-kanak.

Tambah Wan Azizah, kerajaan kini fokus dengan kerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Belia Sukan (KBS) dalam menyediakan lebih banyak aktiviti riadah dan pusat pada masa hadapan.

Perintah berkurung kanak-kanak di Iceland dilaporkan membawa kepada penurunan masalah sosial dalam kalangan belia.

Di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002, kanak-kanak berumur 12 tahun atau ke bawa tidak boleh berada di luar rumah selepas 8 malam melainkan ditemani seorang dewasa.

Kanak-kanak 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.

Iceland mendahului senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah. –MalaysiaGazette