Yeo Bee Yin
Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Pengusaha kilang di Pasir Gudang diseru agar  tidak membuang sisa kimia di tempat yang tidak sepatutnya kerana takut dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin berkata,  tindakan itu dikhuatiri  memburukkan lagi situasi pencemaran kimia di kawasan tersebut.

“Pengusaha, jangan buang sisa kerana panik. Kalau ikut undang-undang tak payah takut,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Tambah beliau, mana-mana pengusaha kilang yang menyimpan sisa kimia perlu melupuskannya di tapak pelupusan berlesen.

Katanya lagi, kerajaan sedang memfokuskan kerja-kerja pembersihan sungai.

Lantaran itu, pemantauan terperinci secara keseluruhan sedang dilakukan.

Semalam Jabatan Alam Sekitar (JAS) memberitahu, pihaknya sudah menggerakkan asetnya di seluruh negara termasuk penggunaan alat pengesan gas, selain pembabitan 100 kakitangannya ke kawasan pencemaran toksik di  Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, sejak Ahad lalu.

Langkah itu bagi menangani penularan ancaman gas berbahaya ke kawasan lain.

Bee Yin memaklumkan sebanyak empat kontraktor akan digunakan untuk membersihkan sungai.

“Target kerajaan negeri 7 hari pembersihan seperti yang dimaklumkan oleh MB Johor (Datuk Osman Sapian).

“Kerajaan lantik dua kontraktor , JAS satu, saya akan minta tambah lagi satu. Saya harap ia (pembersihan) kurang dari 7 hari,” kata Ahli Parlimen Bakri itu lagi.

Sama ada penduduk di Pasir Gudang perlu dipindahkan atau tidak, Bee Yin berkata, Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) akan membuat keputusan berdasarkan pemantauan kualiti udara di kawasan itu. – MalaysiaGazette