Penyanyi, Maher Zain membuat persembahan pada Konsert Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 09 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Konsert Jelajah Malaysia Maher Zain 2019 di Pasir Gudang yang dijadual berlangsung esok dibatalkan berikutan keadaan berbahaya akibat udara yang tercemar oleh bahan kimia.

Menurut kenyataan sekretariat Jelajah Malaysia Maher Zain hari ini pembatalan itu tidak dapat dielakkan oleh sebab menjadi tanggungjawab mereka selaku pengurusan konsert untuk memastikan keselamatan peminat, kru dan artis yang membuat persembahan.

“Kami mendoakan keselamatan mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat bencana ini. Selaku penganjur, kami berkongsi kekecewaan bersama semua peminat Maher kerana pembatalan ini dan akan bekerjasama dengan ejen tiket bagi memastikan bayaran balik daripada pembelian tiket dibuat dengan segera,” katanya.

Menurut kenyataan itu, peminat yang membeli tiket daripada kaunter atau pejabat fizikal perlu mengemukakan salinan tiket yang diimbas bersekali dengan butiran bank kepada [email protected] sebelum 30 Mac.

“Bagi tiket yang dibeli daripada TixMalaysia, bayaran balik akan dikredit ke dalam kad kredit sebelum 30 Mac. Kedua-dua proses bayaran balik ini akan mengambil masa 14 hari bekerja atau sebagai pilihan, peminat juga boleh menukarkan tiket mereka dengan tiket di lokasi Jelajah Malaysia Maher Zain yang lain sama ada di Pulau Pinang atau Sabah dengan menghantar e-mel kepada [email protected],” jelas kenyataan itu.

Penganjur turut memberi jaminan konsert yang dijadual di dua lagi venue iaitu Pulau Pinang dan Sabah akan diteruskan seperti dirancang.

Setakat ini, 506 orang mendapatkan rawatan, termasuk 166 yang dimasukkan ke hospital manakala sembilan orang lagi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi akibat terdedah kepada pencemaran toksik akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Khamis lepas.

Kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang, Johor, diarah tutup berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Kami doakan keselamatan mangsa dan keluarga mereka yang terjejas akibat bencana ini,” katanya. – BERNAMA