SUBANG-  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan dua tim iaitu Tim Tinjau ‘Chemical Biological, Radiological and Nuclear (CBRN)’ serta Tim Nyah Cemar CBRN untuk bantuan kepakaran pembersihan kawasan yang tercemar akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, Khamis lepas.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata tim CBRN itu terdiri daripada pasukan 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja berkekuatan seramai empat pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat diketuai Lt Kol Norhelmi Ismail.

Beliau berkata tim berkenaan dilengkapi dengan beberapa peralatan khusus iaitu ‘ChemPro Lightweigt Detector, Sampling Equipment, CBRN Protective Suit (complete), Tyvek Suit, Breathing Apparatus, Nitrile Glove dan N95 Mask’.

Zulkifli berkata selain tim CBRN, tim kedua adalah tim Nyah Cemar CBRN yang sedang bersiap sedia membantu pihak berkuasa melaksanakan tugas pembersihan kawasan tercemar bahan kimia beracun serta akan membantu pihak ‘Hazardous Materials Management (Hazmat)’ dalam pelaksanaan operasi di lokasi.

“Kedua-dua tim itu telah tiba di Pasir Gudang pada petang tadi dan ATM akan mengkoordinasikan segala keperluan bencana di lokasi kejadian.

“Kesemua tim itu telah melapor di Pusat Kawalan Tempat Kejadian yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih di Pasir Gudang,” katanya pada sidang akhbar di Subang di sini, hari ini.

Selain itu, Zulkifli berkata tentera darat juga telah menghantar Tim Casualty Evacuation Unit dari 2 Batalion Ubat melibatkan seorang pegawai perubatan dan tiga paramedik bersama sebuah ambulans beri bantuan kepada semua tim terlibat.

“ATM akan memantau perkembangan pencemaran Sungai Kim Kim dari semasa ke semasa dan bantuan akan diberi mengikut keperluan operasi,” katanya.

Kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang bermula pada 7 Mac lalu sehingga malam tadi telah menyebabkan lebih 1,000 orang awam dirawat di hospital manakala 111 buah sekolah dalam kawasan Pasir Gudang ditutup serta-merta bagi mengelakkan lebih ramai pelajar terjejas.- BERNAMA