JOHOR BAHRU – Pusat saringan mangsa pencemaran sisa kimia di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih ditutup dan dipindahkan ke Stadium Tertutup Pasir Gudang (MPPG).

Menurut Setiausaha Pasukan Bantuan Kecemasan Bersama Pasir Gudang (PAGEMA) Sharif Idrus, pusat saringan itu akan beroperasi bermula 8.00 malam ini.

Katanya, arahan penutupan diberikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat atas faktor-faktor keselamatan.

“Komander Operasi meminta kami berpindah operasi kerana mengambil kira faktor keselamatan kedudukan dewan berhampiran Sungai Kim Kim yang dalam proses pembersihan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sharif berkata, arahan itu juga mengambi kira keselesaan semua pihak dan hari ini sahaja operasi di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih menerima dan menyaring seramai 284 pesakit.

Tambahnya, perpindahan ke tempat baharu itu juga lebih besar dan dapat membantu memperluaskan operasi, menambah katil pesakit mahupun kelengkapan perubatan.- BERNAMA