Samirah Muzaffar ketika dibawa ke mahkamah pada bulan Mac lalu.

KUALA LUMPUR – Penjara Malaysia menafikan seorang tertuduh, Samirah Muzaffar telah ditahan di bilik asingan yang gelap.

Sebaliknya, dia ditempatkan berseorangan di bilik asingan bersebelahan bilik Pegawai Bertugas Penjara Wanita Kajang.

Ini berasaskan kategori seseorang banduan serta keperluan kawalan selaras dengan kuasa pengkategorian banduan di bawah Peraturan Penjara 2000.

Malah, Samirah yang ditemui mengakui sendiri dia tidak ditempatkan di bilik gelap.

Pengarah Dasar Kepenjaraan, Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhammad berkata, hasil dari semakan serta pemeriksaan yang dibuat juga mendapati tiada kerosakan pada lampu yang terdapat pada bilik penama ditempatkan.

Beliau mengulas kenyataan peguam tertuduh, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memberitahu Mahkamah Tinggi Samirah dibawa ke bilik gelap di Penjara Kajang selepas dilawati peguamnya.

Wanita itu juga tidak diberi pensil atau kertas untuk mencatat nota dalam usaha mempertahankan dirinya dalam kes mahkamahnya.

Samirah dan dua anak lelakinya didakwa membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan pada Jun tahun lalu.

Nordin menjelaskan penjara di Malaysia tidak mempunyai bilik gelap sebaliknya semua bilik atau sel mempunyai tingkap berpalang besi bagi membolehkan cahaya dan udara masuk.

Bilik atau sel berkenaan adalah sesuai daripada segi saiz lantai, pengudaraan dan pencahayaan serta kemudahan-kemudahan yang disediakan.

Malah, pemeriksaan dan pengesahan bilik atau sel itu sesuai digunakan dibuat oleh pegawai perubatan sebelum bilik atau sel berkenaan di sesebuah penjara boleh digunakan untuk penempatan banduan.

Perkara ini juga dinyatakan dengan jelas dalam Peraturan Penjara 2000 serta ketetapan antarabangsa.

Mengulas mengenai bekalan buku nota dan alat tulis, beliau berkata, Samirah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan untuk mendapatkan peralatan buku nota dan alat tulis.

“Penama sebagai tahanan reman yang baru turut mengakui keliru berhubung tatacara penggunaan peralatan untuk menulis dan penjelasan telah diberikan kepada penama.

“Penama seterusnya telah diberikan peralatan untuk menulis dengan seliaan oleh pegawai penjara,” ujarnya.

Nordin berharap kenyataan ini dapat menjelaskan bahawa demi kepentingan keselamatan banduan yang ditahan dipenjara, pengasingan penempatan dilakukan berdasarkan kepada faktor-faktor yang telah ditetapkan dan harus mengikut prosedur.
Begitu juga kemudahan yang disediakan tertakluk kepada peraturan serta prosedur yang ditetapkan.

Tambah beliau, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengambil berat segala keperluan banduan dan dalam masa yang sama menggalakkan banduan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang. – MalaysiaGazette