Jentera digunakan untuk mencari para pelajar yang terperangkap selepas bangunan sekolah runtuh di Lagos. foto AGensi

ABUJA – Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan ramai lagi dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan sekolah runtuh di Lagos.

Dianggarkan terdapat 100 orang murid berada di tingkat atas bangunan empat tingkat yang terletak di Ita Faji di Kepulauan Lagos.

Setakat ini, 40 orang murid berjaya ditarik keluar dengan selamat dan tidak dapat dipastikan berapa jumlah yang terperangkap.

Bangunan itu runtuh pada pukul 10 pagi waktu tempatan.

Difahamkan bangunan itu telah disenaraikan untuk diruntuhkan disebabkan keadaannya yang tidak sesuai.

Seorang penduduk, Mohammed Muftau berkata, bangunan itu mengalami keretakan sejak sekian lama dan aduan telah dibuat. – MalaysiaGazette