Kamarudin Ahmad
Kamarudin Ahmad

KUALA LUMPUR – Keluarga pelajar dan orang awam yang menjadi mangsa kecuaian akibat pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang menyaman kerajaan negeri dan kilang yang bertanggungjawab atas bencana itu.

Tindakan saman itu perlu sebagai isyarat rakyat menghantar mesej jelas ke seluruh negara bahawa mereka yang melakukan perniagaan melibatkan bahan sisa toksid perlu bersikap tanggungjawab terhadap keselamatan orang awam.

Pengerusi Biro Undang-Undang dan Perlembagaan Sekretariat Geram Kelab N87 Malaysia (Geram), Datuk Kamarudin Ahmad berkata, mangsa yang hendak memfailkan saman itu boleh berhubung dengan Sekretariat Geram yang sedia membantu mereka.

“Ada pihak menyatakan sudah-sudahlah (jangan perbesarkan isu), jangan cari salah siapa… Ini tidak betul.

“Kami badan-badan NGO ingin mendesak penduduk di Pasir Gudang, khususnya anak mereka yang menjadi mangsa, saman kerajaan Johor, saman Menteri Besar Johor (Datuk Osman Sapian), kerana kecuaian merekalah menyebabkan bencana ini berlaku dan merebak.

“Kita berharap sangat kepada mereka yang nak memfailkan saman, silalah berhubung dengan Sekretariat Geram dan kami akan membantu mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kata Kamarudin, beliau membuat desakan itu supaya penduduk Pasir Gudang faham hak sebagai mangsa kecuaian pihak berkuasa dan apa yang perlu dilakukannya oleh mereka.

Beliau yang juga seorang peguam menjelaskan, bencana yang berlaku itu boleh dianggao sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan sesuatu yang boleh membawa kematian.

Katanya, walaupun tidak ada niat untuk membunuh, tetapi perbuatan membuang sisa toksid di sungai, berdekatan dengan sekolah dan kawasan penduduk, itu sudah ada satu niat untuk mendatangkan kecederaan kepada mereka yang tinggal di situ.

“Ini sudah mencukupi untuk mereka didakwa di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan,” tegasnya.

Berhubung malapetaka yang berlanjutan sehingga lebih seminggu itu, Kamarudin berkata, pihaknya kecewa kami dengan sikap kerajaan Johor dan juga Menteri Besar atas kecuaian yang menyebabkan pencemaran sisa toksid berlaku.

“Kejadian bermula 7 Mac melibatkan 103 mangsa, kemudian pada 11 Mac dilaporkan 106 mangsa dimasukkan ke hospital. Pada 12 Mac pula mangsa bertambah kepada 260 orang dan terkini mencecah hampir 1,000 mangsa mendapatkan rawatan.

“Kita berpendapat sekiranya kerajaan Johor bertindak pantas, tidak menunggu sehingga hari ini, mungkin yang terlibat dengan pencemaran sisa toksid itu mencecagh 100 hingga 150 orang.

“Hanya selepas lapan hari, baharu hari ini kerajaan Johor meluluskan meluluskan peruntukan RM6.4 juta untuk kontraktor membersihkan sungai dari pencemaran bahan sisa toksid,” ujar beliau.

Beliau difahamkan, penduduk di situ telah membuat aduan berlaku kerja pembuangan sisa kilang di kawasan berkenaan, tetapi tidak ada langkah tertentu diambil.

Sepatutnya, dengan adanya kira-kira 200 kilang kimia di daerah Pasir Gudang, kerajaan Johor sudah melaksanakan satu protokol mengenai pembuangan sisa toksid dari kilang berkenaan, yang menjadi punca bencana itu.

Katanya, pihaknya juga mendapati tidak ada langkah keselamatan diambil seperti memasang pagar di tempat yang menjadi lokasi pembuangan sisa toksin.

“Tidak ada pagar, begitu juga tidak ada notis amaran mengenai hukuman kepada mereka yang membuang sisa sampah atau kimia di kawasan Sungai Kim Kim,” katanya.

Kamarudin turut merujuk kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid bahawa andai kata kerajaan negeri melakukan tindakan lebih awal, maka tidak berlaku bencana ketahap yang dianggap sebagai darurat itu.

“(Sebaliknya) apa kata Menteri Besar? Dia tidak ambil itu sebagai darurat, tapi dia suruh penduduk di situ tutup pintu, tutup tingkap rumah jangan bagi gas masuk.

“Ini bukanlah langkah yang bijak oleh seorang ketua eksekutif negeri, dan kita lihat kecuaian berulang lagi apabila penduduk yang berhampiran sungai langsung tidak dipindahkan,” katanya. – MalaysiaGazette