Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub berucap pada Perasmian Dialog Niaga Agrobank 2019 (DNA 2019) di Hotel Istana, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 MAC 2019

KUALA LUMPUR- Kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar untuk membantu mengembangkan industri pertanian negara termasuk yang melibatkan percukaian dan tarif elektrik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salehuddin Ayub berkata, beliau telah berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk petani, penternak dan usahawan-usahawan kecil dan sederhana yang terlibat dalam bidang pertanian bagi mendapatkan maklum balas terkini industri berkenaan.

“Jika kerajaan serius untuk menjadikan pertanian sebagai pemangkin ekonomi negara, saya melihat ada beberapa dasar perlu dikaji semula seperti cukai import bahan-bahan melibatkan sektor perikanan dan sebagainya.

Malah tarif elektrif bagi kegunaan industri pertanian dan soal pembiayaan juga perlu dikaji semula,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Dialog Niaga Agrobank 2019 di sini hari ini.

Menurut Salehuddin, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad bagi memperhalusi cadangan tersebut.

Tambahnya, selepas sembilan bulan mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan melihat banyak usaha perlu diberi perhatian bagi membantu menaikkan ekonomi rakyat.- MalaysiaGazette