Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Satu laporan polis berhubung penularan video yang memaparkan penyata bank palsu yang didakwa milik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi semalam.

Menurut Pegawai Khas Menteri Kewangan, Sadiq Noor Azlan, video tersebut direka semata-mata untuk memfitah dan menjejaskan imej Guan Eng.

“Ia adalah dokumen palsu yang direka semata-mata untuk memburukkan beliau dan membayangkan bahawa Menteri Kewangan sebagai seorang yang tidak beramanah dan menerima rasuah yang berjumlah puluhan juta dolar Amerika Syarikat.

“Kandungan video tersebut telah dinafikan oleh CIMB Bank Berhad (CIMB) dalam sebuah siaran akhbar bertarikh 12 Mac 2019 yang mengesahkan bahawa akaun yang dipaparkan tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, penyata bank palsu tersebut telah disebarkan dengan niat jahat, bertujuan untuk membangkitkan perasaan marah, tidak puas hati dan rasa kebencian rakyat Malaysia terhadap Menteri Kewangan.

“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk memastikan kesahihan dan ketulenan maklumat dan sumber-sumber maklumat yang diterima melalui media sosial.

“Tindakan menyebarkan maklumat palsu seperti video tersebut merupakan suatu perbuatan jenayah di bawah pelbagai undang-undang termasuklah Kanun Keseksaan (terutamanya seksyen 505, 500, 124H, 124I) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233).

“Diharapkan pihak polis (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat menyiasat pemilik akaun YouTube tersebut agar individu tersebut tidak terus menyalahgunakan laman sosial untuk menyebarkan fitnah,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette