Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin mengenai pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di Christchurch, New Zealand seharusnya menjadi pengajaran kepada Malaysia mengenai perlunya mengekang gejala ekstremisme diluar sebagai kenyataan melampau ahli DAP itu.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beberapa pemimpin DAP kini semakin kurang ajar dan membuat kenyataan yang melampau.

“Selepas Lim Gun Eng dan Nga Kor Ming membuat kenyataan rasis dan chauvinis, kali ini giliran Chew Chong Sin pula mengeluarkan kenyataan biadab dengan mengaitkan insiden pembunuhan beramai-ramai umat Islam di dua masjid di Christchurch New Zealand dengan permuafakatan UMNO-Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asyraf membuat kenyataan itu membidas kenyataan Chong Sin yang tidak sensitif dengan perasaan umat Islam di negara ini yang bersedih dengan apa yang terjadi di New Zealand.

Beliau berkata, adakah selama 61 tahun UMNO mentadbir Malaysia, kaum dan agama lain dizalimi dan ditindas mahupun dinafikan hak mereka.

“Nampaknya semakin hari semakin terserlah nilai pelampauan dan perkauman yang hakikatnya menjadi orientasi perjuangan DAP selama ini.

“Seharusnya rakyat berbilang agama dan bangsa wajar menolak parti rasis dan chauvinis DAP yang boleh menjadi punca persengketaan dan perselisihan agama dan kaum di negara ini,” katanya lagi.

Chong Sin dalam kenyataan hari ini menyatakan kebimbangan mengenai kerjasama UMNO dan Pas yang didakwa menimbulkan naratif berkisar mengenai isu kaum dan agama.

“Persepakatan UMNO dan Pas serta minat mereka terhadap kaum dan agama adalah tidak bertanggungjawab sama sekali.

“Ia tidak memberi manfaat dalam pembinaan Malaysia baru yang boleh diambil kesempatan oleh kumpulan pengganas asing,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu jelas menimbulkan kemarahan orang ramai. -MalaysiaGazette