Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga berikutan pencemaran udara yang berlaku akibat sisa bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 15 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Kerajaan Johor mengalu-alukan sumbangan penutup hidung dan mulut jenis R95 oleh mana-mana pihak kepada pihak berdepan dengan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr. Sahruddin Jamal berkata, kerajaan dari negeri-negeri lain yang mahu menyumbang kelengkapan keselamatan juga dialu-alukan.

Ini kerana katanya, terdapat rungutan daripada orang ramai terhadap bekalan penutup hidung dan mulut jenis R95 yang tidak diperoleh di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru.

“Saya difahamkan, bekalan R95 itu amat terhad di pasaran, malah ramai yang mengadu sukar untuk mendapatkan barangan itu.

“Jadi, mana-mana pihak atau kerajaan negeri yang ingin menyumbang penutup hidung dan mulut itu kita mengalu-alukan bantuan mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini .

Sahruddin berkata, pada masa ini, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan beberapa pihak lain ada menyumbang.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Sahruddin memberitahu, seramai 780 mangsa baharu pencemaran toksik dirujuk ke pusat rawatan awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dalam tempoh enam jam bermula pada 6 petang semalam hingga 12 tengah malam tadi.

Dengan perkembangan tersebut, seramai 3,555 individu telah dirujuk untuk mendapatkan rawatan awal sejak kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini dilaporkan pada 7 Mac lalu, katanya.

Tambah beliau, daripada 780 yang dirujuk sehingga malam tadi, hanya 202 individu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

“Dan daripada 202 kes pula, seramai 113 individu dimasukkan hospital iaitu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru,” ujarnya.

Sahruddin berkata, seramai 531 mangsa yang mendapatkan rawatan di kedua-dua hospital itu sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. – MalaysiaGazette