Boustead sah lupuskan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang kepada sebuah syarikat Singapura

KUALA LUMPUR – Boustead Holdings Bhd. (BHB) melupuskan hartanahnya, Royale Chulan Bukit Bintang Hotel di Jalan Bukit Bintang pada harga RM197 juta tunai kepada Every Room A Home Sdn. Bhd.

Every Room A Home merupakan sebuah anak syarikat kumpulan perhotelan Singapura, Hotel Royal Ltd.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, BHB berkata, penjualan yang dibuat menerusi anak syarikatnya, Boustead Hotels & Resorts Sdn. Bhd. itu adalah berdasarkan keinginan pembeli-keinginan penjual sambil mengambil kira nilai pasaran yang adil berdasarkan pernilaian professional bebas.

BHB dijangka dapat memperolehi keseluruhan keuntungan sebanyak RM92 juta atau kira-kira 4.5 sen sesaham apabila cadangan perlupusan hartanah tersebut selesai.

Cadangan penjualan hotel berkenaan dijangka selesai pada pertengahan tahun ini.

Pelupusan hartanah tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan kumpulan untuk mengembalikan keuntungan dengan cara melupuskan aset bukan strategik, kata syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Boustead Heavy Industries Corp. Bhd. (BHIC) dalams atu kenyataan di Bursa Malaysia berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menyemak semula harga kontrak di antara syarikat sekutunya, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. dengan Kementerian Pertahanan berhubung pembekalan empat unit Littoral Mission Ship dengan Partner Shipyard di China.

Jelasnya, empat kapal berkenaan akan dibina dan diserahkan di China pada harga kontrak yang telah disemak iaitu RM1.05 bilion berbanding RM1.17 bilion sebelum ini.

Perubahan tersebut tidak akan memberi sebarang kesan kepada kedudukan kewangan Kumpulan BHIC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 dan pendapatan masa hadapannya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Penjualan hotel milik Boustead masih diteruskan – Najib

Kenapa terburu-buru LTAT jual Royale Chulan?

Najib tidak faham proses penjualan Hotel Royale Chulan