Gerakan Media Merdeka

KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) membidas tindakan sebuah syarikat produksi televisyen baharu yang didakwa gagal membayar gaji 15 orang pekerjanya.

Geramm difahamkan 15 pekerja terbabit yang terdiri dari wartawan, jurukamera dan krew produksi telah memulakan tugas pada 1 Februari yang terlibat dalam penerbitan program berita di MyTV saluran 122.

Dalam satu kenyataan pada laman Facebooknya, Geramm difahamkan satu laporan polis telah dibuat ke atas pasangan suami isteri pemilik syarikat tersebut.

“Sementara satu lagi laporan akan dibuat di Jabatan Tenaga Kerja pada Isnin dan dengan ini Geramm menyatakan sokongan kami terhadap usaha #kawangeramm bagi menuntut hak-hak mereka sebagai pekerja.

“Ini susulan syarikat tersebut hanya kekal beroperasi selama sebulan dan sehingga hari ini pihak pengurusan didakwa telah gagal menjelaskan bayaran gaji kepada pekerja-pekerja terbabit,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah Geramm, lebih malang lagi, sebahagian besar pekerja terbabit merupakan kenalan rapat pemilik syarikat tersebut yang juga merupakan bekas setiausaha akhbar kepada salah seorang menteri pada era pemerintahan Barisan Nasional.

Usaha Geramm bagi mendapatkan maklum balas dari individu berkenaan gagal.

“Geramm berpendapat bahawa dalam keadaan ekonomi yang mendesak adalah amat tidak wajar bagi sebuah syarikat untuk mengabaikan tanggungjawab utama membayar gaji pekerja mereka,” katanya.

Jelas Geramm, pegangan politik dalam agensi media bukan sahaja memberi kesan kepada kebebasan editorial, tetapi secara tidak langsung meletakkan pengamal media dalam keadaan tidak menentu. – MalaysiaGazette