P. Waytha Moorthy
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy bercakap kepada media selepas Perhimpunan Perpaduan Demi Negara di Dewan Brunsfield Persatuan Bulan Sabit Merah, Kuala Lumpur. foto : NOOREEZA HASHIM, 16 Mac 2019.

KUALA LUMPUR – Pelan Kemakmuran Bersama bukan sahaja akan membantu meningkatkan ekonomi kaum bumiputera malah turut memberi manfaat kepada kaum-kaum di Malaysia.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy, pelan tersebut bukan setakat agenda bumiputera sahaja sebaliknya akan dijadikan agenda nasional.

“Seperti yang kita lihat, ada sesetengah ahli politik mengenengahkan pandangan yang mengatakan orang Melayu rasa tergugat kerana taraf ekonomi mereka lebih rendah berbanding kaum lain.

“Jadi, di bawah pemerintahan kerajaan baharu, kami telah dan akan memberikan lebih banyak inisiatif baharu untuk membantu masyarakat bumiputera supaya lebih berdaya saing.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga akan terus membantu kaum-kaum yang terpinggir seperti India dan Orang Asli.

“Banyak inisiatif yang telah dirancang bagi membantu semua kaum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Perpaduan Demi Negara di sini hari ini.

Terdahulu di dalam ucapannya, Waytha Moorthy berkata, Pelan Kemakmuran Bersama yang dirancang oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat sokongan dan penglibatan semua pihak dari badan-badan ekonomi Melayu, dewan-dewan perniagaan semua kaum sehinggalah pakar-pakar ekonomi dan para pemain industri.

Katanya, semua kaum tidak dipinggirkan dan akan terus dibantu dengan pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan baharu.

Dengan itu, Waytha Moorthy menyeru semua rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan dakyah ahli-ahli politik yang gemar memainkan isu perkauman yang boleh menggugat keharmonian di antara kaum di negara ini.

“Jangan ambil serius apa yang dicakapkan oleh ahli-ahli politik di Malaysia.

“Ramai yang suka bergaduh dan tidak menggunakan Parlimen sebagai platform politik yang betul dengan mengaitkan isu-isu perkauman yang tidak sihat untuk sebuah negara yang telah merdeka sejak sekian lama,” katanya.

Selasa lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mengumumkan kerajaan akan menggubal dasar ekonomi Melayu baharu yang berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan serta perkongsian kemakmuran.

Dasar yang mendepani cabaran ekonomi semasa itu akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang bakal menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.-MalaysiaGazette