KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) memohon maaf di atas penggunaan perkataan tembak-menembak pada kenyataan media bertajuk Jangan Kongsi atau Sebar Rakaman Video Insiden Tembak di Masjid Christchurch, semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan pada jam 4 petang itu telah dibetulkan selepas mendapat kritikan warganet dan pihak media pada jam 8.07 malam

“Perkataan yang sepatutnya digunakan adalah tembakan.

“Untuk makluman, pembetulan telah dibuat pada pukul 8.07 malam tadi dan pihak media telah dimaklumkan mengenai pembetulan itu.

“Sesungguhnya, kesilapan itu adalah tidak disengajakan dan amatlah dikesali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, SKMM sekali lagi menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan video insiden tembakan yang berlaku di Christchurh, New Zealand semalam.

Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat mengancam dan jelik merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jangan sebarkan video tragedi masjid New Zealand – SKMM

SKMM ubah kenyataan ‘tembak menembak’