Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

PASIR GUDANG – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan kepada pasukan bomba, polis serta petugas-petugas perubatan yang terlibat dalam operasi pencemaran sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Baginda bertitah permaisurinya, Raja Zarith Sofeah Sultan Idris Shah amat menghargai komitmen serta dedikasi pasukan-pasukan itu yang bertungkus-lumus menjalankan tugas-tugas mereka.

Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa sut perlindungan bahan kimia, alat bantuan pernafasan separuh muka dwi-penapis serta barangan lain untuk pasukan bomba yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sisa kimia itu.

“Amat dihargai komitmen pasukan perubatan yang secara berterusan memberikan rawatan perubatan kepada mangsa-mangsa yang mengalami pelbagai simptom akibat terhidu gas kimia,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Baginda dan Raja Zarith turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Johor Corporation, KFC, Nestle Foods dan Iskandar Investment Berhad di atas sumbangan yang mereka berikan. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan