TERKINI : Lokasi Bencana Sungai Kim Kim

PASIR GUDANG – Kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim di sini yang menjadi lokasi pencemaran kimia giat dijalankan pihak berwajib menerusi kontraktor yang telah dilantik kerajaan negeri.

Tinjauan MalaysiaGazette hari ini di kawasan sungai terjejas mendapati lebih 20 pekerja pembersihan dan anggota agensi kerajaan berada di sekitar kawasan pembersihan.

Kenyataan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin difahamkan kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim telah dibuat melibatkan jarak sejauh 680 meter setakat petang tadi.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian sebelum ini memberitahu jarak sungai yang terjejas dengan pencemaran toksik berkenaan melibatkan jarak keseluruhan sepanjang 1.5 kilometer.