TERKINI : Tun M Umum 6 Bekas Wakil Rakyat UMNO Sah Ahli PPBM

PUTRAJAYA – Selepas UMNO SABAH mengumumkan keluar parti pada Disember lalu, hari ini enam bekas wakil rakyatnya secara rasmi diterima untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Enam daripada bekas wakil rakyat UMNO itu terdiri daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan empat ahli Parlimen Sabah.

Penyertaan bekas pemimpin UMNO ke dalam PPBM, dua daripadanya merupakan ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd. Noor dan ADUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Manakala empat ahli Parlimen itu adalah Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Selain ADUN dan ahli Parlimen, hari ini turut menyaksikan dua bekas Senator UMNO menyertai PPBM iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (bekas Ketua UMNO Bahagian Pensiangan) dan Datuk John Ambrose (bekas Ketua UMNO Penampang).