Mohamaddin
Datuk Mohamaddin Ketapi. foto HAZROL ZAINAL, 17 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Tiada larangan dikenakan kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melancong ke luar negara khususnya New Zealand meskipun selepas insiden tembakan rambang di negara itu, semalam.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sehingga kini, pihaknya hanya bergantung kepada keputusan Wisma Putra.

“Langsung memang tiada larangan, ini semuanya bergantung kepada Wisma Putra.

“Kalau Wisma Putra cakap tak boleh pergi ke sana (New Zealand), memang kita patuh kepada arahan.

“Pada masa ini kita tiada sebarang larangan untuk ke New Zealand,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MATTA Fair Kuala Lumpur 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden tembakan rambang oleh seorang lelaki yang mengorbankan lebih 49 orang dan mencederakan 48 jemaah ketika solat Jumaat di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, semalam.

Aksi penembak itu disiarkan secara langsung melalui video berdurasi 17 minit di akaun Facebook milik lelaki warga Australia itu yang melepaskan lebih 100 tembakan di dalam masjid berkenaan.

Mohamaddin juga menyifatkan serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu sebagai perkara berasingan dengan sektor pelancongan di negara ini.

“Ini perkara berasingan. Ini sebetulnya bergantung kepada dan Penasihat Perjalanan di sana, untuk melihat keadaan sama ada perlu dihalang atau tidak, untuk menasihatkan mereka,” katanya.

Katanya lagi, setakat perkembangan insiden itu hari ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak mahu campur tangan dalam sekatan perjalanan ke negara terbabit.

“Ia bergantung kepada penasihat perjalanan daripada Kerajaan New Zealand,” katanya.

Dalam pada itu, bagi memastikan sektor pelancongan terus menjadi destinasi utama pelancong asing, pihaknya akan meneruskan penerangan bahawa Malaysia masih selamat untuk dilawati.

“Untuk menjamin keadaan keselamatan negara, apabila kita ke luar negara, kita menerangkan bahawa Malaysia masih selamat dilawati dari segi cuaca, kepelbagaian kaum dan destinasi.

“Kita tidak akan cakap Malaysia selamat daripada serangan pengganas, (tetapi) dari segi keselamatan tiada masalah,” katanya. – MalaysiaGazette