Tun Dr Mahathir Mohamad
Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Tun Dr Mahathir Mohamad menolak dakwaan bahawa Menteri Besar Perak kini dilanda kontroversi dan akan berlaku perubahan pada jawatan itu.

Perdana Menteri turut menafikan dakwaan seorang wakil rakyat UMNO di negeri itu yang dipetik berkata mendapat ‘restu’ pemimpin kerajaan Pakatan Harapan itu untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau secara ringkas menjawab ‘no such thing’ kepada pertanyaan wartawan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pagi ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi tadbir urus dan kepimpinan Ahmad Faizal yang sentiasa dilanda kontroversi sejak akhir-akhir ini, Pengerusi PPBM itu berkata, sememangnya wujud kontroveri kerana ada pihak mahu menggantikan tempat Faizal.

“Ya memang kontroversi sebab ada orang mahu ambil tempat dia dan orang sentiasa akan cari kontroversi apatah lagi saya juga tak terkecuali sebab ada orang mahu menggantikan saya dan itu normal,” katanya selepas melancarkan Program Ikon Remaja Wilayah Persekutuan yang melibatkan 2,000 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Perdana Menteri turut diminta mengulas tentang tindakan MB Johor, Datuk Osman Sapian yang melawat ke Batam, Indonesia untuk memperomosikan Tahun Melawat Johor 2020 dan mengenepikan krisis kesihatan yang melanda negeri tersebut.

Mahathir membalas: “Dia pergi ke? saya pun tak tahulah”.

Ahli Parlimen Langkawi itu menambah, sebagai pemimpin Johor, Osman mempunyai pandangan dalam mendekati dan meneliti setiap isu di negeri itu.

“Faktanya pada akhirnya kami mempunyai pandangan sama bahawa tidak wujud keperluan untuk mengisytiharkan darurat atau panik di negeri itu sebab kami tahu apa yang kami lakukan ialah betul dan situasi itu dikendalikan secara baik,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan