Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa terharu dengan laporan daripada media ada pelajar di Universiti Malaya (UM) terpaksa ikat perut ekoran kesempitan wang.

Beliau telah mengarahkan pegawainya untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak pentadbiran dan persatuan pelajar di universiti berkenaan.

“Saya terharu membaca liputan mengenai kisah mahasiswa kelaparan. Staf saya diminta mendapat makluman dari HEP (Hal Ehwal Pelajar), PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas pemimpin pelajar UM itu mengulas mengenai pendedahan akhbar Berita Harian hari ini mengenai mahasiswa miskin di universiti itu terpaksa mengikat perut.

Laporan muka depan itu rata-ratanya mendedahkan sebilangan pelajar universiti itu mengikat perut dengan hanya makan sekali sehari, kerap berpuasa dan bergantung pada sebuku roti untuk dua hari akibat kekangan kewangan.

Paling terkesan adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu yang terpaksa berjimat cermat demi meneruskan pengajian masing-masing. -MalaysiaGazette