Situasi pencemaran udara yang berlaku ekoran pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim tidak menghalang dua kanak-kanak tersebut menjalankan aktiviti menangkap ketam di muara Sungai Kim Kim, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Orang ramai diminta agar tidak panik dengan kewujudan gas hidrogen sianida di Sungai Kim Kim di sini seperti yang didedahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pengarah JBPM negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, bahan kimia itu terhasil daripada bahan buangan bahan kimia di sungai berkenaan dan bukan hidrogen sianida asli seperti yang digunakan sebagai senjata kimia untuk perperangan.

Beliau berkata, tahap bacaan gas hidrogen sianida terkini itu juga berada pada paras selamat iaitu di bawah 2.0 partikel per sejuta (PPM) berbanding 4.5 PPM yang dicatatkan di kawasan Tanjung Puteri di sini sejak 7 Mac lalu.

“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang atau panik kerana hidrogen sianida yang dikesan dalam udara kawasan terjejas ialah gas hasil tindak balas daripada sisa bahan kimia.

“Sianida ini juga berbahaya jika terdedah kepada manusia dalam tempoh yang lama namun ia tidak seteruk sianida asli yang boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang di Pusat Rawatan Awal Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini hari ini.

Jelas Yahaya, pihaknya turut melakukan proses penyahcemaran di pusat rawatan awal Stadium Tertutup MPPG selain mengesan pelepasan gas tersebut di kawasan penduduk.

“Mangsa yang menjalani proses penyahcemar dengan simptom radiasi itu akan dimandikan sebelum dirujuk kepada pasukan perubatan untuk tindakan lanjut.

“Ia penting bagi memastikan pasukan perubatan bebas daripada terkena kesan radiasi sianida,” ujarnya.

Tambah beliau, jumlah mangsa yang kecil tidak terlalu memberi kesan namun, jika jumlahnya besar akan menjejaskan petugas-petugas perubatan di pusat saringan berkenaan.

“Selain itu, kita turut mengarahkan petugas pembersihan di kawasan Sungai Kim Kim melakukan proses penyahcemaran ini sebelum mereka pulang ke rumah atau sebagainya bagi mengelak ia merebak ke kawasan lain,” katanya.-MalaysiaGazette