KUALA LUMPUR – Usaha untuk meringankan beban kos hidup rakyat boleh dilaksanakan sebaik mungkin sekiranya semua melaksanakan secara serius pendekatan bekerjasama di antara satu sama lain.

Demikian ditegaskan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang menyifatkan pendekatan sedemikian dapat membantu kerajaan meningkatkan kesejahteraan khususnya dalam kumpulan isi rumah berpendapatan rendah B40.

Merujuk penganjuran Program Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat di kawasan Perumahan Awam Seri Perlis 2 di sini hari ini, beliau menyatakan, aktiviti jualan barangan keperluan asas rakyat itu mampu dijadikan contoh terbaik bagaimana badan bukan kerajaan (NGO) boleh menjadi rakan strategik kepada kerajaan.

“Saya dimaklumkan bahawa Program Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat ini digembeleng oleh sebuah NGO, Dewan Perniagaan Jualan Jimat Harapan Rakyat (DPJJHR) itu memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan keperluan asas mentah seperti ayam dengan harga serendah RM2.99 sekilogram termasuklah barangan lain seperti cili, sayur-sayuran, gula, tepung dan sebagainya.

“Bagi saya, usaha ini amat baik dan saya yakin kerajaan amat mengalu-alukan usaha ini. Malah, program itu turut memberi peluang kepada rakyat meninggikan lagi ekonomi masing-masing dengan memulakan perniagaan sendiri secara kecil-kecilan yang mana bekalan barangan pukal serta modal difahamkan mampu disediakan oleh pihak DPJJHR,” katanya.

Abu Bakar berkata demikian selepas menghadiri Program Pasar Jualan Jimat Harapan Rakyat yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Strategik DPJJHR, Datuk Abdullah Mansor.

Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu mengharapkan program meringankan beban rakyat seumpama itu boleh diperluaskan di seluruh negara dengan melibatkan lebih banyak persatuan-persatuan penduduk sama ada di kawasan kampung, taman perumahan atau kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang didiami majoriti golongan B40. – MalaysiaGazette