Ras Adiba dan Mohamed Azam.

KUALA LUMPUR – Lima tahun bergelar ibu tunggal, bekas personaliti TV3, Ras Adiba Radzi, 51, kembali bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Azam Ali, 57, semalam.

Majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam, di sini, disempurnakan bapa Ras, Mohd Radzi Wahab, dengan disaksikan Imam Masjid terbabit, Yahya Mat Husin.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 bersama empat dulang hantaran berbalas lima.

Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Ia adalah perkahwinan ketiga Ras dan kedua buat Mohamed Azam.

Pasangan mempelai telah lama saling mengenali, iaitu sejak masing-masing bertugas di TV3 yang ketika itu beroperasi di Jalan Liku, Bangsar.

Namun pada Disember lalu, mereka berjumpa kembali pada majlis pertemuan semula (reunion) bekas kakitangan stesen televisyen berkenaan.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Ras dikurniakan dua cahaya mata, manakala suaminya pula mempunyai enam anak. – MalaysiaGazette