Haizal Yatiran
Visual editor sebuah syarikat televisyen, Haizal Yatiran bercakap kepada media selepas selesai membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja bagi mendesak majikannya menjelaskan tunggakan gaji sepanjang perkhidmatan mereka di Wisma Consplant 2, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2019

SUBANG JAYA – Sekumpulan 15 kakitangan sebuah syarikat televisyen membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja Selangor di sini bagi mendesak majikannya menjelaskan tunggakan gaji.

Jurucakapnya, Haizal Yatirah mendakwa, kesemua mereka yang memulakan tugas dari 1 Februari hinga 6 Mac lalu masih tidak mendapat sebarang bayaran gaji meskipun pihak pengurusan beberapa kali berjanji mahu melunaskannya sebelum ini.

“Kali pertama, pihak kami dijanjikan untuk mendapat bayaran gaji, pada 27 Febuari dan 28 Febuari untuk kali kedua. Kemudian, pihak pengurusan menjanjikan tarikh akhir pembayaran gaji pada 2 Mac 2019.

“Sehinggalah, beberapa kali membuat deadline dan tundaan berkenaan pembayaran, pihak pengurusan akhirnya menghubungi kami untuk membuat satu perjumpaan di The Curve, Damansara bagi tujuan pembayaran.

“Bagaimanapun, pasangan suami isteri ini (majikan mereka) menghilangkan diri pada hari tersebut,” katanya pada sidang media selepas membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor di Wisma Consplant hari ini.

MGF17032019_ADUAN KAKITANGAN SEBUAH SYARIKAT TELEVISYEN05
Haizal Yatiran

Sebelum ini, stesen televisyen itu yang bersiaran di saluran televisyen dalam talian sebuah syarikat telekomunikasi gergasi tempatan dikendalikan oleh bekas pegawai menteri pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan suaminya.

Terdahulu, Haizal turut membuat satu laporan polis berhubung tindakan pasangan suami isteri itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 15 Mac lalu.

Bagaimanapun selepas laporan polis dibuat, pihaknya menerima pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp daripada pasangan suami isteri terbabit bahawa mereka sudah membuat pembayaran gaji tertunggak itu.

“Pada Jumaat lepas, selepas enam daripada kami membuat laporan polis di IPD PJ dalam 7 atau 8 malam, pukul 11 malam itu kami menerima mesej mengatakan kami telah dibayar gaji.

“Mesej itu turut menyertakan bukti pembayaran gaji iaitu slip deposit cek dan sehingga ke hari ini cek itu masih tidak diketahui statusnya,” kesalnya.

Ditanya tentang jumlah bayaran gaji tertunggak itu, Haizal memberitahu, pihaknya hanya dimaklumkan oleh pengurusan sumber manusia syarikat itu ia melibatkan lebih RM30,000 untuk kesemua 15 kakitangan terbabit.

“Kami difahamkan oleh ketua sumber manusia yang dilantik oleh pasangan suami isteri bahawa anggaran gaji untuk 15 orang ini lebih RM30,000,” katanya.

Selain itu, mereka juga akan membuat laporan sama kepada Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dalam masa terdekat berhubung kegiatan pasangan suami isteri ini dalam industri media.

“Pihak kami juga berharap, proses penyiasatan oleh Jabatan Tenaga Kerja berjalan dengan lancar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/16/geramm-bidas-syarikat-produksi-gagal-bayar-gaji-pekerja-media/