KUALA LUMPUR – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V membuat kejutan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang DUN Kelantan ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu, hari ini.

Sebaik masuk ke dewan, baginda menitahkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Nasuruddin Daud menyampaikan tazkirah.

Tiga tajuk tazkirah telah disampaikan anggota Exco itu yang mengambil masa kira-kira 10 minit.

Tajuk tazkirah ialah mengenai salam dan pengertiannya, takrifan ‘Rahmatan Lil’alamin’ mengikut kaca mata Islam dan jumhur ulamak serta larangan Allah ke atas golongan LGBT.

Malaysia Gazette difahamkan, tazkirah itu disampaikan dalam bentuk rakaman video yang dirakamkan sebelum istiadat perasmian sidang DUN bermula pagi ini.

Sebaik Nasuruddin selesai menyampaikan tazkirah itu, Sultan Muhammad V kemudian bertitah;

“Bagi mengakhiri titah beta, dengan lafaz ‘Bismillahhirahmanirrahim, maka dengan ini beta merasmikan pembukaan Penggal Kedua Sidang DUN Kelantan ke-14 tahun 2019. Aamiin Ya Rabbal Alamiin,” titahnya.

Baginda tiba di pekarangan kompleks berkenaan pada jam 11.15 pagi dan disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Nazran Muhammad; barisan anggota Exco dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Turut mencemar duli, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dipetik berkata, majlis istiadat pembukaan sidang DUN itu diadakan secara ringkas tanpa perbarisan Askar Melayu Diraja kerana cuaca panas yang melanda Kelantan ketika ini.

“Tuanku bertitah semalam, disebabkan cuaca panas, maka baginda minta tiada perbarisan seperti biasa.

“Kalau ada perbarisan, pasukan perbarisan kena datang awal untuk berbaris, jadi nak mengelak masalah jadi tuanku titah supaya tiada perbarisan,” katanya. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Daulat Tuanku…semoga di panjangkan umur dengan kesihatan yang baik dan sentiasa dirahmati Allah SWT. Aamiin Ya Rabbal Aalamiin

Comments are closed.