KUALA LUMPUR – Seorang lagi rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh akibat gempa bumi di Lombok Timur semalam.

Menurut satu kenyataan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, selain Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily Datin Tai Siew Kim, seorang lagi wanita turut terbunuh.

“Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta mengesahkan bahawa dua orang warganegara Malaysia meninggal dunia akibat gempa bumi di Lombok Timur pada 17 Mac 2019 iaitu Datin Tai Siew Kim dan Puan Lim Sai Wah.

“Tujuh orang yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di hospital manakala 13 orang terselamat,” demikian menurut mereka.

Semalam, gempa bumi berukuran lebih 5.0 pada skala Richter meragut nyawa Siew Kim yang sedang bercuti bersama anak lelakinya serta sekumpulan rakan sekolah lamanya di Lombok.

Menurut kedutaan, kesemua mereka adalah sekumpulan 22 orang warganegara Malaysia yang berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Utara ketika bencana tersebut melanda pada pukul 3.07 petang waktu tempatan. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/17/timbalan-ketua-pengarang-eksekutif-sin-chew-terbunuh-dalam-gempa-bumi-di-lombok/