Pasukan perbersih giat melakukan kerja-kerja pembersihan bahan kimia berikutan insiden pencemaran di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 16 MAC 2019. foto HAZROL ZAINAL, 16 MAC 2019.

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini mengesahkan kualiti udara di Pasir Gudang semakin pulih berbanding semalam.

Dalam satu kenyataan, JAS berkata ia berdasarkan kepada pemantauan di 42 buah sekolah yang dipantau oleh 30 pasukan pemantau MESTECC di kawasan sekitar Pasir Gudang.

“Volatile Organic Compound (VOC) yang dikesan di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 3 menunjukkan sekali sahaja bacaan VOC pada kadar lima (5) parts per milion (ppm).

“Manakala tiga (3) ppm pada jam 3 petang pada 17 Mac 2019 di aras satu dan aras dua bangunan sekolah tersebut.

“Bacaan ini mungkin disebabkan faktor aktiviti harian yang memuncak di kawasan persekitaran.

“Bacaan pada jam 6 petang menunjukkan tiada lagi kehadiran VOC dikesan,” demikan menurut kenyataan itu kepada media.

Secara keseluruhannya, bacaan-bacaan ini dijangka adalah disebabkan faktor aktiviti harian di kawasan persekitaran.

Pemantauan pada waktu yang sama diteruskan bagi memastikan keadaan benar-benar stabil.

Tiga lampiran yang mengandungi sembilan halaman adalah bacaan yang direkod pada 17 Mac 2019 di 23 pusat pemantauan yang mewakili 42 buah sekolah dan pemantauan diteruskan serta data akan diterbitkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, JAS berkata pemantauan berterusan akan dijalankan oleh pasukan pemantau MESTECC bagi memastikan keadaan benar-benar stabil. -MalaysiaGazette