Anggota Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) memeriksa dan mengukur kualiti udara di sekitar kawasan tong yang dibuang berhampiran cabang Sungai Kim Kim di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2019.

PASIR GUDANG – Isu pencemaran sisa-sisa toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim tempohari sudah cukup membuatkan ramai penduduk menderita.

Hari ini, orang ramai dan pihak berkuasa mendapati masih ada penemuan terbaharu sisa-sisa buangan toksik dalam semak di Taman Tanjung Puteri Resort dekat sini pula.

MGF18032019_TONG KIMIA01
Tong disyaki mengandungi sisa kimia yang dibuang berhampiran cabang Sungai Kim Kim di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2019.

Kesemua tujuh buah tong berwarna biru itu dikatakan telah ditemui penduduk kawasan berkenaan sejak 14 Mac lalu.

Seorang wakil penduduk, Ahmad Roh Ariffin, 51, memberitahu, penemuan tong yang mencurigakan oleh seorang penduduk taman itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

“Semasa ditemui, tong itu berbau seperti cuka tapi ia tidak dibuka kerana tidak tahu apa isi kandungannya.

MGF18032019_TONG KIMIA02
Keadaan cabang Sungai Kim Kim lokasi dimana penemuaan tong disyaki mengandungi sisa kimia yang dibuang di Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2019.

“Hari ini saya laporkan terus perkara ini kepada pejabat Menteri Besar dan wakilnya telah datang untuk meninjau kawasan dengan bantuan polis,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi penemuan tong tersebut di sini hari ini.

Berdasarkan pemerhatian, tiga daripada tong berkenaan dibuang di dalam parit manakala empat lagi dijumpai di bawah jambatan anak sungai yang dipercayai bersambung dengan Sungai Kim Kim.

Jelas Ahmad Roh, perkara itu juga telah dilaporkan kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk diambil tindakan.

“Kita harap perkara ini dapat diambil tindakan segera dengan membersihkan kawasan itu supaya keadaannya tidak menjadi lebih parah,” ujarnya. – MalaysiaGazette