Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membuat keputusan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dengan mengembalikan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kepada wakil pembangkang.

Demikian pendirian Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun tambah beliau, perkara itu perlu dibincangkan semula bersama-sama Perdana Menteri untuk melihat penjelasan Tun Dr Mahathir Mohamad secara lanjut.

“Saya masih terikat dengan manifesto tapi kita tengok penjelasan dan rasional Perdana Menteri dalam kes ni.

“Saya rasa kita boleh bincang semula dan kita rujuk kepada Perdana Menteri, yang minta tu kerana manifesto Pakatan Harapan itu jelas menyatakan pengerusi PAC harus daripada pembangkang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kritikan UMNO dengan tindakan PH mengekalkan jawatan Pengerusi PAC kepada Datuk Seri Ronald Kaindee yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dipetik sebagai berkata menggesa agar jawatan tersebut dikembalikan kepada wakil pembangkang seperti mana janji PH dalam manifesto pilihan raya lalu.

Barisan Nasional sebelum ini bercadang untuk melantik Ketua Wanita UMNO, Noraini Ahmad dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa itu, namun Ronald berkata hanya akan meletakkan jawatan jika diarahkan oleh Mahathir. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: