Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah 2019 di Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 19 MAC 2019

PUTRAJAYA – Jawatankuasa Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan mendapati pembinaan dua kem tentera oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini kosong selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, laporan oleh pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Ambrin Buang mendapati terdapat beberapa perkara disalahgunakan kerajaan terdahulu.

“Kita kenal pasti ada cara jual tanah mengikut cara tidak benar, dengan tujuan untuk membina kem tentera. Kem-kem tentera ini dibina untuk tujuan pilihan raya, supaya askar boleh ditempatkan di kem berkenaan dan mengundi di kawasan itu.

“Ini adalah satu kesalahan tetapi kita dapati bahawa banyak tanah yang dibuat dengan cara “land swap” ini supaya tanah ini cepat dibina. Ada kes selepas pilihan raya umum, kem ini kosong,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Anti Rasuah di Perdana Putra hari ini.

Bulan lalu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mendedahkan pembinaan dua kem tentera itu didapati bukan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut beliau, pembinaan itu dibuat atas perintah pemimpin BN terdahulu bagi memindahkan pengundi ke kawasan itu atas dasar kepentingan politik mereka.

“Didapati pembinaan kem tentera terutamanya di Hutan Melintang dan Paloh di Johor bukan atas kehendak ATM tetapi kehendak pemimpin politik.

“Maka pakatan dibuat dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk memindahkan pengundi ke Hutan Melintang, kawasan itu berada di bawah Bagan Datuk.

“Dipindahkan pengundi walaupun tandatangan projek belum dibuat. Dipaksa untuk buat kem Paloh yang terletak di Sembrong, Johor,” kata Mat Sabu ketika kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Februari lalu.

Dua kem itu terletak di Hutan Melintang dalam kawasan Parlimen Bagan Datuk yang mana ahli parlimennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Satu lagi adalah kem Paloh yang terletak di Sembrong, Johor. -MalaysiaGazette