Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersembahkan ucapan tahniah dan syukur atas pemasyhuran Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Tuanku Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pelantikan baginda itu melambangkan kekuatan dan keutuhan bangsa Melayu yang bertepatan dengan UiTM satu-satunya universiti khusus bagi melahirkan graduan bumiputera yang profesional.

Menurut Ketua Penerangan Perkasa Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, betapa rakyat pribumi berasa gembira dan sukacita dengan pelantikan Tuanku yang muda serta penuh bertenaga selaku Canselor UiTM.

“Presiden bersama kepimpinan peringkat pusat dan negeri serta warga Perkasa di seluruh negara menjunjung kasih dan mempersembahkan ucapan tahniah serta rasa syukur dengan pelantikan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jelas Nasrul Ali Hasan, pelantikan itu sesuai dengan lambang UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bumiputera yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu sebagai teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun.

Tuanku juga katanya, merupakan seorang raja yang diibaratkan pepatah Melayu, telah jauh berjalan dan luas pengalaman serta telah menerima pelbagai disiplin pendidikan sama ada dari institusi pendidikan dalam mahupun luar negara dalam memperlengkapkan diri menjadi seorang raja.

“Insha-Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah, Tuanku pasti mampu menerajui UiTM, di samping memperkasakan institusi ini dalam menjaga kepentingan golongan bumiputera terus unggul dalam semua bidang profesional bertaraf dunia.

“Perkasa memohon ke hadrat Allah semoga Tuanku dan Tengku Permaisuri dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan berpanjangan supaya dapat terus memerintah negara Malaysia tercinta ini serta melestarikan darjat dan martabat bangsa pribumi melalui pendidikan tinggi dengan segala kemuliaan,” katanya. – MalaysiaGazette