Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ayer Hitam mempersoalkan bagaimana Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) disusun atur memandangkan ahli-ahli Parlimen DAP sahaja didakwa ‘bernasib baik’ untuk disenaraikan.

Sebagai contohnya, pada hari ini tiga ahli Parlimen DAP (Kota Kinabalu, Kluang dan Bandar Kuching) mendapat senarai dalam MQT.

Sedangkan, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, beliau dan ramai lagi ahli-ahli parlimen pembangkang yang turut menghantar soalah untuk MQT tidak disenaraikan.

“Persoalannya ialah bagaimana soalan MQT disusun atur? Siapa yang menentukan soalan mana yang patut diketengahkan?

“Apakah kriteria pemilihan setiap soalan? Bagaimana jika Kementerian tersebut cuba elak daripada menjawab soalan Ahli Parlimen?,” soalnya bertalu-talu.

Tanyanya lagi, adakah ahli-ahli Parlimen DAP benar-benar ‘sangat bertuah’ sehingga wakil-wakil dari Parti PKR, PPBM, PAN, BN, GPS, PAS, STAR & bebas langsung tidak berpeluang untuk bertanya.

Selaras dengan era Malaysia Baru, seeloknya tiga soalan MQT diagihkan secara saksama kepada backbenchers PH dan Pembangkang dan bukannya dimonopoli mutlak oleh satu parti sahaja.

Ka Siong mendakwa beliau turut mengemukakan soalan untuk MQT tetapi tidak disenaraikan.

Soalan yang dikemukakan adalah: “YB Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) minta Menteri Kewangan menyatakan berapakah susut nilai KWSP pada tahun 2018 mengikut piawaian lama berbanding tahun sebelumnya memandangkan pengumuman dividen 2018 oleh KWSP, ia telah menggunakan piawaian pelaporan kewangan baru iaitu MFRS9 untuk tahun lepas dan tidak lagi mengiktiraf sebarang susut nilai ke atas pegangan ekuiti mereka”.

Beliau yang juga Presiden MCA itu mahu rakyat menilai sama ada soalan yang dikemukakan semalam dianggap “tak cukup standard” untuk disenaraikan sebagai soalan MQT.

“Sila bandingkan dengan tiga soalan MQT yang dikemukakan oleh ahli-ahli Parlimen DAP,” katanya. – MalaysiaGazette