SPRM

KUALA LUMPUR – Seorang ketua balai polis antara 16 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang sogokan untuk melindungi premis urut di sekitar ibu kota.

Sumber SPRM berkata, kesemua suspek dipercayai menerima sogokan itu daripada pemilik premis urut dan ditahan di 16 lokasi sekitar Lembah Klang.

“Kesemua mereka ditahan sekitar jam 10 hingga 5 petang ini hasil risikan kami sejak tiga bulan lepas,” katanya kepada Bernama.

Katanya, seramai 40 pegawai SRPM terlibat serbuan itu dan daripada jumlah 16 yang ditahan, tujuh adalah penjawat awam manakala sembilan adalah orang awam.

Mereka ditahan kerana disyaki melindungi sindiket berkenaan dan menerima rasuah, katanya.

Sumber itu berkata antara penjawat awam yang ditahan adalah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pegawai bomba dan penyelamat dan ketua sebuah balai polis.

“Difahamkan premis urut yang menggunakan khidmat wanita warga asing itu pernah diserbu oleh Jabatan Imigresen pada Sabtu lepas,” katanya.

Menurut sumber itu, kumpulan suspek itu menerima wang sogokan itu secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan..

Sumber berkata wang berkenaan adalah sebagai perlindungan premis mereka tidak diganggu dan dipercayai terdapat perantara yang akan mengambil wang itu daripada pemilik premis berkenaan pada setiap bulan.

“Ya, kesemua suspek ditahan di SPRM Putrajaya serta disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya sambil menambah reman akan dimohon daripada mahkamah hari ini. – MalaysiaGazette