Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) akan berbincang dengan Bank Negara Malaysia berhubung mandat untuk meningkatkan pelaburan mereka di luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizari Alias, mandat kedua-dua entiti itu untuk meningkatkan pelaburan di luar negara adalah tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia.

Jelas, Syed Hamadah, KWAP gembira diberikan mandat untuk menambah pelaburan di luar negara dan melihat sektor hartanah sebagai antara fokus pelaburannya.

“Kami berminat untuk melabur dalam bidang hartanah tetapi bukanlah pelaburan yang dibuat oleh KWSP dan PNB.

“Kami mahu melabur dalam bidang hartanah dengan menyediakan kediaman pelajar, bangunan pejabat dan juga logistik kerana ia bakal memberikan pulangan dari segi sewaan yang stabil kepada kami,” katanya di forum bertajuk Mandat Baharu, Peluang Baharu sempena Invest Malaysia 2019 di sini hari ini.

Selain hartanah, KWAP juga menurut Syed Hamadah berminat untuk meningkatkan pelaburan dalam ekuiti swasta pada masa hadapan.

Setakat ini, pelaburan KWAP katanya banyak menumpukan pasaran domestik yang merangkumi kira-kira 87 peratus daripada asetnya manakala baki sebanyak 13 peratus adalah pelaburan di luar negara.

Dalam pada itu, Tunku Ali juga menyatakan keterujaan KWSP untuk meningkatkan pelaburan di luar negara kerana aset yang dimiliki oleh firma tersebut di pasaran tempatan adalah sangat tinggi.

“Ada yang kata kami mendominasi pasaran (tempatan) tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali mengambil aset-aset berkualiti tinggi.

“Lainlah jika kami dibenarkan untuk memindahkan aset ke luar negara,” katanya di forum yang sama.

Ketika ini, KWSP hanya memiliki kira-kira 28 peratus aset di luar negara.- MalaysiaGazette