Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucaptama pada Invest Malaysia 2019 The Capital Market Forum di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MAC 2019

KUALA LUMPUR- Majikan digesa supaya membayar gaji dengan kadar yang lebih baik kepada pekerja bagi meningkatkan keuntungan dan dalam masa yang sama dapat mengelakkan jurang miskin-kaya di negara ini semakin melebar.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mahu melihat pemilik modal mengaut keuntungan daripada kekayaan negara dengan rakus dan meninggalkan sisa sahaja kepada golongan berpendapatan rendah.

“Saya menggesa anda semua untuk mempunyai pemikiran seorang pemegang taruh. Bayar gaji pekerja dengan lebih baik sekiranya anda mahu membuat lebih banyak keuntungan.

“Saya perasan yang ada syarikat telah menaikkan gaji ketua pegawai eksekutif berkali-kali ganda tetapi gaji pekerja hanya mengalami sedikit sahaja peningkatan malah ada juga yang langsung tidak dinaikkan.

“Ini adalah tidak betul,” tegasnya.

Berucap di hadapan para pelabur dalam dan luar negara di Forum Pasaran Modal Invest Malaysia 2019, Mahathir menegaskan, perkongsian kemakmuran bermakna setiap rakyat mendapat manfaat daripada pertumbuhan dan kestabilan negara.

“Kita tidak mahu ada satu kumpulan yang berjaya, mendominasi atau memonopoli semua benda sedangkan ada kumpulan lain yang tertinggal di belakang.

“Jurang di antara miskin-kaya mesti dirapatkan dan sekiranya ketidaksamarataan ini dibiarkan, ia akan menyebabkan ketegangan dan keganasan yang akhirnya akan membawa kepada konfrontasi,” jelasnya.

Tambah Mahathir, kerajaan sedar meskipun pertumbuhan ekonomi dan institusi amat penting bagi sesebuah negara namun manfaat kepada semua rakyat secara adil juga menjadi fokus utama.

“Kami sedar, pembangunan negara bukan sekadar Keluaran Dalam Negara Kasar dan pasaran saham tetapi juga membangunkan standard kehidupan yang lebih baik kepada semua rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette