Mohd Dailami Che Age
Mohd Dailami Che Age

KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) Selangor menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Tuanku Sharafuddin Idris Shah mengenai pusat tahfiz di negeri itu.

Pengerusinya, Mohd. Dailami Che Age berkata, titah tuanku itu melambangkan keprihatinan baginda sebagai ketua agama yang memayungi rakyat khususnya pendidikan agama dan tahfiz.

Beliau yang juga Mudir Darul Ulum Az Zara memberitahu, NGO itu yang mewakili majoriti pusat tahfiz  bersedia membantu bagi menambah baik kurikulum dan isu pendaftaran institusi berkenaan.

Oleh itu, katanya, pelbagai usaha telah dibuat bagi membantu lepasan tahfiz mengikuti pengajian sistem arus perdana.

“Antara yang kita usahakan ialah laluan Fast Track SPM yang dikendalikan ahli PINTA, yang mana kejayaan pelajar lepasan tahfiz menguasai subjek akademik telah terbukti dengan laporan pencapaian cemerlang oleh institusi ini.

“Kita juga telah memeterai perjanjian bersama UNIRAZAK di bawah program Al Asasi untuk membuka laluan pelajar tahfiz ke program diploma dan Ijazah peringkat pendidikan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, Tuanku Sultan Sharafuddin menitahkan agar semua sekolah swasta tahfiz yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditutup serta ditamatkan perkhidmatannya.

Baginda bertitah, terdapat sejumlah 15,000 pelajar tahfiz di 263 sekolah swasta tahfiz yang berdaftar dengan JAIS sehingga kini.

Selain itu, menurut Mohd Dailami, di bawah program Plus Tahfiz UiTM, PINTA telah menjalin kerjasama bersama universiti itu untuk menyerapkan lepasan tahfiz di negara ini.

Katanya, NGO itu kini sedang merangka dan membincangkan kaedah penyelesaian terbaik kepada isu akademik moden di pusat pengajian institusi tahfiz dengan merangka silibus subjek wajib akademik untuk pelajar.

“PINTA berterima kasih kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang banyak membantu mempermudahkan pendaftaran institusi tahfiz di Selangor.

“Namun, masih ada ruang dan kelemahan yang boleh dibaiki dari sudut teknikal di institusi itu yang memerlukan masa untuk dibaik pulih seperti sudut prasarana dan kelengkapan asas bangunan.

“Kita ingin tegaskan, semua ahli PINTA begitu komited untuk mendaftarkan institusi masing masing, tidak ada mana-mana ahli yang enggan atau ingkar untuk membuat pendaftaran bersama JAIS,” ujar beliau.

Beliau percaya, atas bimbingan dan kerjasama JAIS yang mengambil berat isu isu seperti ini, semua institusi tahfiz yang belum berdaftar akan berjaya mendapat kelulusan daripada jabatan itu. – MalaysiaGazette