SHAH ALAM – Saksi ke 20 inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini berkata beliau melihat anggota bomba itu dihimpit oleh van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kereta. 

Menurut Budd Mohsin, 24, yang berketurunan Punjabi itu,  mangsa yang berada di belakang sebelah van EMRS pada mulanya bergerak secara mengundur selepas dilanggar didorong oleh jentera FRT (Fire Rescue Tender).

“FRT terus berundur melanggar EMRS, EMRS himpit mangsa dengan sebuah kereta dan mangsa terjatuh terlentang kaki ke arah Caltex (terjatuh) ,” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini ketika ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah.

Pergerakan jentera itu jelasnya akibat daripada serangan sekumpulan perusuh kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November yang lalu. 

“Sekumpulan orang  India menuju ke lori dan van tersebut yang telah diparkir di tepi jalan raya.

“Lori bomba itu diserang beberapa kumpulan. Orang ramai pukul-pukul lori, ada orang pakai botol, ada kayu,” jelasnya. 

Mohsin menyaksikan ada anggota bomba yang kelihatan takut diserang dan bertindak masuk kembali ke dalam FRT yang kemudian bergerak secara mengundur itu.

Beliau juga menyaksikan ada yang masuk kembali dalam van EMRS menerusi pintu penumpang (sliding door).

Kemudian selepas itu, Mohsin melihat beberapa orang mengusung Muhammad Adib menuju ke stesen minyak itu. 

Pada prosiding hari ke 20, inkues anggota bomba yang meninggal pada 17 Disember 2018 selain melampirkan bukti baju yang dipakai Allahyarham Muhammad Adib pada malam itu turut menayangkan video malam kejadian.

Dalam masa sama prosiding turut ditayangkan semula untuk pengecaman saksi adalah video Muhammad Adib diusung oleh beberapa orang menuju ke stesen minyak berdekatan kuil tersebut. 

Inkues akan disambung esok dengan saksi yang sama.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan