Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Semua bekas wakil rakyat UMNO termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melompat atau meninggalkan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 akan tetap disaman dalam masa terdekat.

Mendedahkan perkara itu kepada pemberita sebentar tadi, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sudah selesai menyenarai semua wakil rakyat itu dan akan dihantar ke firma guaman selewat-lewatnya esok.

Pendedahan itu sekaligus menyelesaikan teka teki UMNO mungkin tidak akan meneruskan tindakan saman terhadap bekas wakil rakyatnya yang melompat parti atau kekal bebas ketika ini.

Sebelum ini, sebuah portal mendedahkan UMNO tidak mahu meneruskan cadangan untuk menyaman wakil-wakil rakyat itu kerana tidak mampu menanggung kos perundangan tinggi, sebaliknya mahu fokus pengukuhan parti.

“Tidak, laporan itu tidak benar sama sekali. Saya boleh sahkan hari ini, semua ADUN dan ahli Parlimen yang meninggalkan parti bakal mendapat notis saman.

“Semuanya ada kira-kira 30 orang, 20 di Sabah dan 10 lagi dari Semenanjung. Ada beberapa di Johor, Kedah dan Perak, tidak ada yang terkecuali. Kita sudah senaraikan nama-nama itu.

“Malah sebuah firma peguam sudah dilantik dan saya akan menulis surat kepada mereka esok dengan memberikan senarai nama penuh semua ahli Parlimen dan ADUN yang melompat keluar untuk didakwa oleh UMNO. Kita tetap saman,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Keterah itu mengulas persoalan wartawan tentang laporan portal UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan saman terhadap bekas ahli Parlimen dan ADUN yang melompat atau meninggalkan parti.

Media melaporkan dua bekas Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, sudah diberikan writ saman baru-baru ini. –MalaysiaGazette