KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah membuka tiga tender terbuka secara berperingkat sejak 13 Mac lalu  mengingatkan mereka yang menyertai tender kementerian itu supaya tidak mengemukakan dokumen palsu atau pun yang dipinda.

Petender yang melakukan kesalahan itu boleh didakwa dibawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“KPM akan membuat laporan polis dan SPRM jika ada petender yang mengemukakan maklumat palsu,” katanya dalam kenyataan.

Ketiga-tiga tender itu ialah tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak (BMB), Perkhidmatan Kebersihan Bangunandan Kawasan (KBK), dan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) bagi tahun 2019.

Malah menurut kenyataan itu, sebelum ini terdapat petender yang
mengemukakan maklumat palsu, antaranya butiran palsu berkaitan dengan kedudukan kewangan bank.

Berikutan itu, KPM berharap setiap petender yang menyertai proses tender pada kali ini akan mengutamakan budaya berintegriti tinggi.

KPM yang mengalu-alukan penyertaan seramai mungkin dalam proses tender yang dijalankan secara terbuka di bawah sistem ePerolehan itu turut mengingatkan petender supaya tidak tertipu dengan membeli maklumat tender melalui orang yang menyamar sebagai ‘orang tengah’.

“Pegawai-pegawai KPM yang terlibat dalam tender tidak pernah dan tidak akan berhubung dengan mana-mana ejen untuk
menjual sebarang maklumat tender.

“Kesalahan membayar untuk mendapatkan maklumat tender juga boleh didakwa di bawah Akta SPRM 2009,” katanya.

Petender-petender yang ingin menyertai tender di KPM perlu berdaftar dengan sistem ePerolehan dan diingatkan untuk sentiasa mengemaskini semua maklumat terkini dalam
sistem ePerolehan.

Selain itu, petender-petender hendaklah sentiasa merujuk laman sesawang KPM dan sistem ePerolehan serta laman MyProcurement bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai
tender yang akan diiklankan oleh KPM. – MalaysiaGazette