Salah satu sudut Food Corner yang disediakan oleh UTeM.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyediakan makanan percuma kepada penuntut B40 dalam usaha menjaga kebajikan para pelajar yang memerlukan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib berkata, penyediaan makanan percuma itu dilakukan setiap hari termasuk semasa minggu peperiksaan.

“UTeM sentiasa dan terus konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menjaga kebajikan pelajar B40 ini,” katanya.

Menurut beliau, usaha ini disambut baik oleh semua pihak fakulti UTeM telah menyediakan makanan percuma kepada para penuntutnya yang dipanggil Food Corner bagi memudahkan mereka mengambil dan menikmati juadah tersebut.

Food Corner turut disediakan di Masjid Sayyidina Abu Bakar.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan para pelajar mendapatkan makanan mencukupi seterusnya memberi keselesaan mengikuti sesi perkuliahan apatah lagi ketika menduduki peperiksaan.

“Dengan adanya bantuan makanan percuma di UTeM ini maka pelajar-pelajar berkenaan dapat menggunakan wang pinjaman, biasiswa atau zakat yang diterima itu untuk perbelanjaan lain berkaitan kepentingan pembelajaran.

“Dalam masa yang sama UTeM turut menjalankan beberapa strategi lain,selain daripada makanan percuma ini demi memastikan kesemua pelajar di sini selesa dan dapat mengikuti pengajian,” ujarnya. – MalaysiaGazette