Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia (WOHD) 2019 di di Dewan Serbaguna, Kementerian Kesihatan, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 20 MAC 2019.

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjelaskan beliau menjadi mangsa kepada laporan media yang tidak tepat.

Mempertahankan hujah itu, beliau mendakwa media yang melaporkan perkara itu jelas menimbulkan fitnah dan menjadikan beliau ‘kambing hitam.’

“Semalam, saya tweet ketika Berita Harian membuat laporan yang berjudul ‘Bekam Kerja Sia-Sia?’ dinisbahkan kepada saya.

“Laporan itu sangat tidak bertanggungjawab sebuah media yang mengambil kebebasan untuk membuat laporan seperti ini. Saya jarang mempertikai laporan media.

“Jawapan saya adalah satu laporan teknologi berkenaan bekam pada 2012 bahawa tiada bukti kukuh untuk sokong keberkesanan dalam rawatan beberapa penyakit,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019 di kementeriannya hari ini.

Dzulkefly merujuk kepada laporan media semalam mengenai isu keberkesanan bekam daripada aspek Kementerian Kesihatan.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu dilaporkan berkata tiada bukti kukuh untuk menyokong keberkesanan bekam dalam merawat penyakit.

Jelas beliau, laporan Penilaian Teknologi berkenaan bekam pada tahun 2012 menyatakan tiada bukti kukuh keberkesanannya atas penyakit termasuk herpes zoster (cacar), facial paralysis (strok muka), back pain (sakit belakang) dan spondalysis (sakit tulang belakang).

Selain itu katanya, penyakit lain juga termasuk cerebrovascular accident (strok), hypertension (hipertensi), fibromyalgia (penyakit saraf), bronchitis (radang pada kerongkong), asthma (asma) dan sakit kepala.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan soalan Dr. Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) pada sidang Dewan Rakyat semalam. -MalaysiaGazette