NEW YORK – Harga minyak susut selepas menghampiri empat bulan tinggi ekoran jangkaan OPEC akan meneruskan pengurangan bekalan sehingga akhir tahun ini.

Niaga hadapan minyak mentah Brent didagangkan pada harga AS$67.61 setong, penutup tertinggi sejak November 2018.

Manakala kontrak hadapan West Texas Intermediate pula mencecah paras tertinggi sejak bulan November pada AS$59.57 setong tetapi ditutup pada AS$59.03 setong, susut AS$0.06.

Harga meningkat dalam perdagangan pasca penutup selepas data daripada Institut Petroliam Amerika Syarikat (API), sebuah kumpulan industri, menunjukkan kejutan dalam inventori mentah.

Stok minyak mentah susut sebanyak 2.1 juta tong dalam minggu sehingga 15 Mac kepada 446.8 juta berbanding jangkaan penganalisis kenaikan sebanyak 309,000 setong.

Data rasmi daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) dijangka dikeluarkan pada hari ini.

Harga minyak naik lebih daripada 20 peratus selepas OPEC dan sekutunya mengawal bekalan sejak awal tahun ini. – MalaysiaGazette