Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface bakal berlangsung pada 4 Mei ini.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, kumpulan Wings akan muncul dengan konsert perdana pada tahun ini bergandingan dengan Bunkface atas satu pentas yang sama.

Wings yang dianggotai Datuk Awie, Sham, Black, Eddie dan Edrie Hashim akan tampil bersama Sam, Youk dan Paan dalam satu konsert yang dinamakan Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface.

Bakal berlangsung pada 4 Mei ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pukul 8.45 malam, konsert dengan durasi dua  jam itu mempunyai objektif tersendiri.

Selepas lebih kurang 34 tahun berada dalam industri ternyata
kredibiliti Wings sebagai salah sebuah kumpulan legenda tidak mampu digugat.

Saban tahun muncul dengan konsert, Wings akan terus mengorak langkah mengukir nama dan sejarah tersendiri ke arah 35 tahun kegemilangan muzik mereka.

Menurut Wings, konsert itu dilaksanakan sebagai salah satu perancangan ‘Journey To 2020’ atau ‘Journey To 35th Years Anniversary’ dan mereka bakal muncul dengan beberapa rangkaian konsert.

Konsert-konsert yang akan dianjurkan di seluruh Malaysia akan menyaksikan kolaborasi Wings dengan beberapa kumpulan terkenal Malaysia dan untuk kali ini ia bermula dengan Bunkface.

IMG_9862
Wings akan menyambut ulangtahun penubuhan ke-35 tahun pada tahun ini.

Konsert yang dianjurkan oleh Awie Entertainment ini merupakan permulaan perjalanan Wings ke arah sambutan penubuhan mereka selama 35 tahun di persada muzik tanah air.

Mempelawa Bunkface berada di atas satu pentas bersama mereka, konsert kali ini turut meraikan penubuhan 12 tahun Bunkface dalam dunia seni yang kini sudah mempunyai lima buah album studio.

Gabungan muzik rock dan punk akan disaksikan dalam konsert ini dan mereka akan muncul dengan lagu duet buat para peminat mereka.

“Konsert ini merupakan siri pertama perjalanan Konsert Wings ke arah 35 tahun dan rangkaian konsert lain akan disertai band-band Malaysia yang ternama di lokasi yang berlainan,” ujar Awie.

Malah ujar Wings mengajak kami membuat persembahan di atas satu pentas dan satu konsert.

“Kami terima pelawaan ini dengan senang hati dan terharu,” katanya.

Menariknya untuk perjualan tiket konsert ini, ia dijual secara manual dan tidak menggunakan sebarang ejen tiket online.

Tiket dengan harga standard RM150 (berdiri) manakala RM450 (duduk) untuk pembeli tiket yang dapat menyaksikan sesi soundcheck (sehari sebelum konsert), berserta jamuan ringan dan merchandise istimewa 1000 pembeli pertama akan mendapat merchandise istimewa.

Memandangkan tiket-tiket dijual secara manual, terdapat dua cara membeli tiket iaitu sistem tempahan atau pembelian terus di kaunter.

Tempah tiket dengan agen dikenali sayap-sayap Wings yang akan berada semasa jelajah konvoi motosikal di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia (senarai dan nama akan diumumkan kelak di Instagram dan Facebook).

Semua tiket dijual secara manual dan untuk yang memesan pada sayap-sayap Wings boleh menebusnya di kaunter tiket pada 2 Mei hingga 4 Mei ini.

Keterangan lanjut mengenai konsert ini dan pembelian tiket boleh dirujuk di laman sosial rasmi Wings iaitu Instagram: @sayap2wings dan Facebook: Sayap-Sayap Wings. – MalaysiaGazette